SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA YANG KE 62

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 62

Pada 31 ogos adalah hari kemerdekaan Malaysia, marilah kita tadah kesyukuran terhadap ilahi untuk meraih kemenangan yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita. Terlahirlah Negara Malaysia yang berbilang kaum. Semoga pada hari mulia ini dapat memberi semangat patriotic setiap rakyat Malaysia.

Demi menyambut hari merdeka 31 Ogos ini, kami ingin berkongsi sedikit sajak dari Novelis Termasyur Malaysia, A. Samad Said yang bertajuk Hidup Bersama.

A. Samad Said : Hidup bersama 2001
YouTube: Mode Media MY

PUISI HIDUP BERSAMA

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *